MOTAC Sokong MCCGB Wakili Malaysia Promosi Budaya dan Produk di Pasaran China Melalui RCEP

PUTRAJAYA, 4 Julai 2025 — Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menyatakan sokongan padu kepada Malaysian Chamber of Commerce and Global Business (MCCGB) untuk mewakili Malaysia dalam Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), khususnya dalam mempromosikan produk, budaya dan perkhidmatan negara di pasaran China.

Sokongan ini dinyatakan menerusi satu surat rasmi bertarikh 4 Julai 2025 yang ditandatangani oleh Ketua Setiausaha MOTAC, YBhg. Dato’ Shaharuddin bin Abu Sohot, kepada Presiden MCCGB, YBhg. Datuk Jeffery Lau.

Menurut surat tersebut, MOTAC menyambut baik inisiatif MCCGB dan menegaskan agar segala penglibatan mereka dalam rangka kerja RCEP dilaksanakan dengan mematuhi semua peraturan dan undang-undang yang sedang berkuat kuasa.

“Penyertaan MCCGB ini dijangka dapat meningkatkan promosi produk pelancongan di luar negara dan seterusnya membantu meningkatkan jumlah kehadiran pelancong ke Malaysia,” jelas surat itu.

RCEP merupakan perjanjian perdagangan bebas terbesar di dunia yang melibatkan 15 negara Asia Pasifik termasuk China, Jepun, Korea Selatan, dan negara-negara ASEAN. Penyertaan Malaysian Chamber of Commerce and Global Business dalam RCEP dilihat sebagai satu peluang strategik untuk memperkukuh kedudukan produk dan warisan budaya Malaysia di pentas antarabangsa, khususnya di pasaran China yang besar dan berpotensi tinggi.

MOTAC turut menegaskan bahawa usaha sebegini selaras dengan aspirasi negara untuk memartabatkan industri pelancongan dan budaya sebagai pemacu perpaduan serta pembangunan ekonomi yang mampan.

Facebook
WhatsApp
Twitter
LinkedIn
Pinterest